Tuesday, 25 August 2015

Makmal matematik



Siapa kata matematik tiada makmal? Ingat sains jak kah yang ada makmal? hah... matematik pun ada makmal sebenarnya. 

Utusan Online : 14 Julai 1998

Menurut Perunding Cara Makmal Matematik (MM) sebuah syarikat swasta, Arus Saujana (M) Sdn. Bhd., Habib Imbichi, negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Jerman telah lama mengamalkan penyelidikan dan pembangunan (P&P) Matematik menerusi Makmal Matematik yang banyak menggunakan alat bantu mengajar (ABM).
Sehubungan itu, katanya, satu kaedah baru pembelajaran dan pengajaran (P&P) Matematik melalui Makmal Matematik diperkenalkan untuk mencambahkan minat terhadap mata pelajaran tersebut.
''Kewujudan Makmal Matematik perlu disegerakan di sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh negara sebagai satu langkah mengatasi masalah kurang minat dan takut Matematik di kalangan pelajar. Ia juga diperlukan untuk mengatasi masalah kelemahan Matematik di kalangan pelajar,'' katanya.
Jelas beliau, walaupun kerajaan telah mengambil langkah bijak memperkenalkan sempoa dan mental aritmetik, ia masih belum mencukupi.
Ini memandangkan kedua-dua kaedah itu hanya dapat membantu pelajar dalam menyelesaikan permasalahan Matematik, seperti mengira dan bukannya untuk memupuk minat sukakan subjek itu di kalangan mereka.
''Pendekatan yang digunakan dalam MM adalah sangat menarik, iaitu melalui tiga konsep makmal yang diperkenalkan iaitu makmal lengkap, separuh lengkap dan makmal bergerak.
''Kesemua makmal ini menggunakan ABM seperti polydron bagi menarik minat pelajar mendekati Matematik,'' kata Habib.
Selain itu, katanya, ABM seperti polydron juga dapat membantu membina pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan pelajar selain membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam subjek berkenaan.
Habib berkata, Makmal Matemati sememangnya direka khusus untuk melahirkan murid yang pintar dan cemerlang dalam Matematik.
Ini kerana mereka belajar melalui proses pembelajaran bermakna dan mudah difahami serta menyeronokkan, selain membina dan meluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka tentang Matematik.
Ini dapat dilakukan melalui pelbagai latihan menerusi penggunaan polydron dalam P&P menerusi kaedah 'pembelajaran bersama, penguasaan penuh pembelajaran dan pembelajaran persendirian.'
Selain itu, kata Habib, Makmal Matematik juga dapat membantu melahirkan pelajar yang bijak dan cemerlang Matematik, selain mempunyai pengetahuan yang luas, dan mampu pula mengaplikasi Matematik di dalam dan luar bilik darjah, di samping tidak merasa gerun mempelajari subjek itu pada peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, menerusi kaedah P&P Matematik dalam Makmal Matematik, pelajar dapat mengetahui dengan lebih realistik tentang permasalahan Matematik dan berusaha mencari penyelesaian secara persendirian atau berkumpulan.
''Dalam hal ini, guru lebih berperanan sebagai fasilitator dan bukannya pemberitahu sebagaimana kebiasaannya, iaitu murid hanya menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh guru mereka,'' katanya.
Menurut Habib, kaedah ini lebih membantu pelajar menguasai subjek itu, berbanding cara konvensional yang menyaksikan guru lebih berperanan besar, sedangkan murid lebih banyak mendengar dan kurang mengambil bahagian dalam apa bentuk latihan secara langsung dalam kelas.
Katanya, Makmal Matematik juga dapat melahirkan guru yang berkaliber dalam mengajar Matematik, hasil daripada penglibatan mereka secara langsung dalam pelbagai aktiviti P&P dalam kelas yang bermakna, mudah difahami, tetapi menyeronokkan.
''Selain menjadi pusat kegiatan penerokaan dan penemuan, mempelajari dan memahami segala permasalahan bersangkutan Matematik, makmal itu juga mampu menjadi pusat kegiatan guru Matematik yang baru kerana dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan kemudahan P&P Matematik.
''Guru juga boleh mengurangkan masa mereka dalam menyediakan peralatan mengajar, sebaliknya boleh menumpukan perhatian yang lebih terhadap pengajaran yang lebih cekap, memahami bagaimana dan apa yang hendak diajar dengan lebih berkesan dan menyeronokkan.
''Makmal Matematik juga mampu mengundang minat mendalam para guru Matematik dalam mengajar subjek itu, selain memberi ruang kepada mereka untuk meningkatkan profesionalisme perguruan itu sendiri,'' kata Habib.

No comments:

Post a Comment